Melihatkan kepada statistik yang dibentangkan, memanglah menyakinkan kita bahawa dalam beberapa tahun akan datang maka negara kuasa besar Europe ini akan mempunyai populasi penduduk Islam yang besar sehingga mampu mencorakkan sosio ekonomi dan politik benua tersebut.

Walaupun kita merasa bangga dengan jumlah statistik tersebut, tetapi tidak kurang juga sejumlah yang murtad. Kerja-kerja mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran menjadi lebih agresif dan perlu lebih giat lagi. Dengan jumlah tersebut juga maka sudah tentu jumlah pendakwah kena dipertingkatkan untuk menyeimbangkan jumlah populasi yang terbentuk.

Kalau jumlah yang besar itu terbentuk selari dengan kefahaman dan keyakinan yang jitu terhadap Ubudiyyah  kepada Allah dan ketaatan terhadap rasul, maka usaha pendakwah tidaklah sesukar yang disangka dan bolehlah mereka menumpukan kearah membangunkan tamadun kemanusian dan kemodenan Islam selari dengan tuntutan dan keilmuan ilmu yang masih banyak perlu diterbitkan dari inti-pati tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam Al Quran. Mengembalikan ketamadunan empayar Islam yang lebih gemilang sepertimana ketamadunan yang lampau. Semua ummat merasa keharmonian hidup dan selamat di bawah pemerintahan yang adil dan saksama.

Kalau jumlah yang besar tetapi mendatangkan banyak masalah dikalangan sendiri maka sukarlah pembentukan tamadun hendak diwujudkan. Orang Islam di akhir zaman ibarat buih-buih di lautan. Mereka ramai tetapi rapuh imannya. Mereka menjadi lemah dik kerana tuntunan hawa nafsu. Hilang izzah dan jati diri di dalam diri. Mereka mudah diperkotak-katikkan dan dipermainkan oleh puak yang kecil yang mempunyai perancangan yang kemas untuk menghancurkan Institusi dan peradaban Islam.

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada nabi Muhammad s.a.w.). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.” (An-Nisa’ 4: 51-52)

Ibnu Taimiyah menerangkan perkara yang tersirat di sebalik ayat-ayat Allah S.W.T. ini.

”Allah mencela golongan yang telah menerima kitab, tapi masih lagi beriman kepada sesuatu perkara di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan ‘orang luar’ risalah berbanding orang-orang yang beriman. Samalah juga keadaannya sebagaimana sebahagian manusia mengutamakan pendapat ahli falsafah dan kerajaan jahiliyah (yang berbangsa Turki, Dailam, Arab, Iran dan lain-lain) berbanding orang yang beriman kepada Allah, kitab Allah dan RasulNya. Begitu juga Allah mencela orang yang mengaku beriman dengan seluruh kandungan kitab-kitab Allah tetapi mereka tidak menghukum dengan menggunakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka rela berhukum menurut taghut yang diagungkan selain dari Allah. Demikian jugalah yang terjadi pada golongan yang mengaku Islam tetapi mereka menjalankan undang-undang mengikut pandangan ahli falsafah atau mereka memerintah menurut sistem politik bukan syariat Allah. Apabila diseru kepada mereka: “Marilah kembali kepada kitab Allah dan sunnah Rasulnya!”, mereka palingkan muka mereka dengan bersungguh-sungguh.”

** Artikel oleh sura jagat 30/6/2009