MACHANG: 8/9/2009 sumber dari http://www.hmetro. com.my/Current_ News/myMetro/ Tuesday/Setempat /20090908084205/ Article/index_ html

“Pulanglah nak…ibu merindui kamu,” rintih seorang wanita warga emas, Mariam Ali, 78, kepada anak lelakinya, Mohd Zuhaizie Abd Kadir, 33, yang tidak ditemui sejak 13 tahun lalu selepas melanjutkan pelajaran di Universiti Sheffield, United Kingdom (UK).

Menurutnya, anaknya menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di universiti berkenaan atas tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1996 dan sepatutnya pulang tiga tahun kemudian tetapi hingga kini masih hilang tanpa khabar berita.

Katanya, dia tidak tahu ke mana anak bongsunya itu menghilang apabila langsung tidak berhubung dengannya serta sepuluh adik-beradik lain. “Setiap hari dan setiap malam mak cik sentiasa memikirkan mengenai Zie dan sering tertanya ke mana dia pergi apabila tidak pulang hingga sekarang.

“Sudah 13 tahun mak cik menunggu kepulangannya dan keluarga ini seperti tidak lengkap tanpa kehadirannya terutama setiap kali Aidilfitri,” katanya. Menurutnya, keadaan lebih memilukan apabila anak bongsunya itu masih tidak mengetahui kematian bapanya, Abd Kadir Elias yang meninggal dunia dua tahun lalu di rumah mereka di Kampung Kemuning Dalam di sini.

“Mak cik sedih kerana dia tidak tahu bapanya sudah pergi, malah tidak menelefon atau menghantar surat sejak tahun akhir pengajiannya di sana. “Beberapa hari sebelum pemergian arwah bapanya, bapa saudaranya, Hasbullah Md Darus, 55, sempat pergi ke JPA membuat semakan tetapi dimaklumkan Zie tidak pernah membuat bayaran balik.

“Mereka menasihati supaya ke Wisma Putra mendapatkan bantuan, namun sebelum sempat berbuat demikian, bapa Zie disahkan meninggal dunia,” katanya. Katanya, dia tidak mengesyaki wujud perselisihan faham dalam keluarga hingga menyebabkan anaknya itu tidak pulang ke pangkuan keluarga hingga sekarang.

Mariam berkata, ketika dua tahun pertama pengajiannya di sana, anaknya itu pernah mengutus surat selain pulang ke rumah kerana rindukan keluarga. “Mak cik hairan, selepas kami membalas suratnya, dia terus mendiamkan diri hingga sekarang. Mak cik tidak boleh tidur kerana sentiasa teringatkannya,” katanya.

*****

Nota: Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan, segera untuk tampil membantu untuk meringankan kerinduan ibunya.