desert

** Artikel: Maznah Daud – Kolumnis Malaysia Harmoni

Ghazwah Badar al-Kubra adalah satu daripada peristiwa paling penting dalam sejarah Islam. Tentera Islam yang berjumlah 313 orang dianugerahi kemenangan besar, mengalahkan pihak lawan yang berjumlah lebih daripada1000 orang. Pertempuran hebat ini berlaku pada hari Jumaat 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah berbetulan Ramadan pertama disyariatkan puasa.

Kitab-kitab sejarah tidak mencatatkan keterlibatan wanita secara langsung dalam peperangan ini. Ahli pasukan yang berangkat bersama Rasulullah s.a.w. dari Madinah pada 8 atau 12 Ramadan tahun ke-2 hijrah semuanya lelaki. Mereka tidak membawa kelengkapan yang secukupkan untuk berperang. Yang ada bersama mereka hanyalah dua ekor kuda kepunyaan Zubayr bin al-‘Awwam dan Miqdad bin al-Aswad, 70 ekor unta yang setiap satunya dikongsi tunggang oleh dua atau tiga orang secara bergilir. Rasulullah s.a.w. berkongsi menaiki seekor unta secara bergilir-gilir dengan Ali bin Abi Talib dan Mirthad bin Abi Mirthad.

Meskipun tidak ada wanita yang terlibat secara langsung dalam pertempuran yang bersejarah ini, namun terdapat beberapa nama wanita yang terkait dengan peristiwa besar ini yang dapat diambil pengajaran mengenai kedudukan wanita dalam ajaran Islam.

Antara nama-nama yang tercatat mempunyai kaitan dengan Ghazwah Badar al-Kubra ialah:

Atikah binti Abdul Muttalib

Tiga hari sebelum kedatangan Dhamdham bin ‘Amru al-Ghifari yang diutus oleh Abu Sufyan untuk memberi amaran kepada puak Quraisy tentang keberangkatan Muhammad s.a.w. untuk menyekat kafilahnya dan mendapatkan bantuan, Atikah binti Abdul Muttalib telah mengalami satu mimpi yang amat mengerikan; seorang penunggang unta memasuki Makkah sambil melaungkan suara meminta supaya mereka bersiap sedia menghadapi peperangan yang akan berlaku dalam masa tiga hari lagi.

Penunggang unta itu memasuki Masjid al-Haram, memanjat Kaabah dan kemudian naik ke atas puncak bukit Abi Qubays. Kemudian di puncak bukit Abi Qubays itu dia mengambil seketul batu lalu dicampakkan ke bawah. Apabila mencecah kaki bukit, batu itu berkecai. Serpihan batu itu memasuki setiap rumah dan kediaman di dalam kota Makkah. Tidak ada sebuah rumah pun yang terkecuali.

Atikah menceritakan mimpi ngerinya itu kepada saudaranya al-‘Abbas bin Abdul Muttalib. Al-‘Abbas yakin bahawa ia merupakan satu mimpi yang benar. Dia meminta supaya Atikah merahsiakan mimpi itu dan jangan menceritakannya kepada sesiapa pun. Di luar, al-‘Abbas bertemu dengan sahabat karibnya al-Walid bin ’Utbah. Dia menceritakan mimpi Atikah kepada al-Walid dan meminta supaya al-Walid merahsiakannya. Al-Walid pula menceritakannya kepada ayahnya, ’Utbah.

Maka tersebarlah berita itu ke seluruh pelosok bumi Makkah. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Abu Jahal, dengan sombongnya dia menolak mimpi itu sambil berkata kepada al-’Abbas: ”Wahai Bani Abdul Muttalib! Adakah tidak cukup lagi lelaki kamu mendakwa menjadi nabi sehingga wanita pula yang mendakwa menjadi nabi? Kita akan lihat selepas tiga hari. Sekiranya benar apa yang kamu dakwa maka ia akan berlaku.

Sekiranya tidak, kami akan rekodkan suatu catatan bahawa keluarga kamu adalah keluarga yang paling pendusta!” Pengajarannya: Wanita sering dituduh sebagai golongan yang tidak pandai menyimpan rahsia. Namun tidak semua rahsia dibocorkan oleh wanita. Dan bukan lelaki sahaja yang berhak mendapat maklumat awal mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat dan negara.

Zainab binti Muhammad s.a.w.

Antara tawanan perang Badar yang dibawa pulang ke Madinah ialah Abu al-’As bin ar-Rabi’ menantu Rasulullah s.a.w., iaitu suami kepada puteri baginda Zainab binti Muhammad s.a.w. dan anak saudara kepada Khadijah binti Khuwailid r.a. Abu al-’As yang ditawan oleh Kharrasy bin as-Simah adalah seorang yang terbilang dari segi kedudukan, harta, perniagaan serta terkenal sebagai seorang yang amanah.

Dia telah berkahwin dengan Zainab sebelum Nabi diangkat menjadi Rasul atas cadangan Khadijah r.a. dan dipersetujui oleh baginda s.a.w. Setelah baginda diangkat menjadi Rasul, Khadijah dan semua puterinya termasuk Zainab telah beriman kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. daripada Tuhannya. Namun Abu al-’As kekal dalam agama asalnya.

Abu al-’As mendapat tekanan daripada kaum Quraisy yang memusuhi Rasulullah s.a.w. kerana dakwahnya. Mereka mendesak Abu al-’As supaya menceraikan Zainab dan menawarkan mana-mana perempuan Quraisy sebagai ganti. Namun Abu al-’As enggan berbuat demikian. Baginya tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Zainab di hatinya.

Apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, Zainab tinggal di Makkah bersama Abu al-’As. Mereka tidak dipisahkan meskipun berlainan agama. Hukum Islam belum diturunkan sepenuhnya ketika itu. Rasulullah s.a.w. membebaskan tawanan-tawanan Badar dengan mengambil tebusan. Zainab mengirimkan kalung yang dihadiahkan bondanya Khadijah r.a. pada hari perkahwinannya untuk menebus suaminya Abu al-’As. Melihat kalung tersebut, hati baginda s.a.w. sangat tersentuh.

Rasulullah s.a.w. meminta izin daripada para sahabat r.a. untuk membebaskan Abu al-’As dan memulangkan kembali kalung itu kepada Zainab. Mereka semua bersetuju. Maka Rasulullah s.a.w. membebaskan Abu al-’As dengan syarat dia mengizinkan Zainab berijrah ke Madinah di sisi ayahandanya.

bersambung…