Salam Lailatul Qadr…

Ramadhan yang mulia ini akan meninggalkan kita sedikit masa dan hari lagi. Ada yang suka dan ada yang berduka kerana mungkin tidak akan dapat berjumpa lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Insyaalah, Ramadan yang menghapuskan segala dosa kita yang lalu, bulan maghfirah. Datangnya tidak diundang dan perginnya juga tidak dihalang. Namun bagi kita yang telah mengucap sepenuhnya dua kalimah syahadah dengan membenarkan kesemua tuntutan kita sebagai seorang Islam yang beriman dan berehsan maka selayaknya kita menundukkan sepenuhnya jiwa dan raga kita hanya kepada Allah yang telah menciptakan diri kita ini tanpa dimintanya kita memulangkan setiap inchi dari apa yang telah diberikannya.

Sedar tidak sedar, maka ramadhan yang selama ini kita lalui akan terus meninggalkan kita tanpa meminta juga kepada kita untuk kita memuliakannya kerana Ramadhan itu sendiri telah Allah muliakan melalui ciptaan Allah yang maha Esa. Kita sebagai hambanya hanya dikehendaki mengisi ruang Ramadhan itu dengan berlumba-lumba membuat kebajikan, amalan dan kebaikan sebanyak mungkin dan termampu. Amalan yang menepati ibadah yang sahih. Amalan yang telah menjadi cara hidup, yang diajar dan dilalui oleh baginda Rasul SAW.

Namun, dalam bulan yang berkat dan mulia ini juga, menyedarkan kita supaya tidak melupakan kepada ibu-bapa yang telah membesarkan kita menjadi manusia yang paling berguna di atas muka bumi ini. Kita mampu melangkah kaki hingga ke tangga Universiti dan membawa balik segulung kertas yang mungkin amat berharga di dalam hidup kita. Harapan yang mana semua orang amat mengidamkan cita-cita tersbut. Namun bagi kita yang telah berjaya ini, sering kali juga kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai anak kepada kedua orang tua kita dengan melenyapkan mereka dari kotak  perhatian kita. Setelah berjaya, maka sukar kita hendak bertanya khabar sepatah dua kata dengan alasan kita sering sibuk, tidak ada masa, kena kerja lebih masa, anak sakit, isteri sakit dan tidak dapat cuti dan seribu macam alasan lagi. Peristiwa Iqamah menjadi iktibar kepada kita semua. Kalau Allah sendiri memuliakan Ramadhan ini maka kenapa pula sukarnya hati kita hendak memuliakan kedua orang tua kita yang telah banyak membesarkan kita sejak dari kecil lagi.

Beruntunglah kepada mereka yang masih mempunyai  ibu-bapa dan jagalah kedua ibu-bapa kita selagi mana mereka masih hidup di atas muka bumi ini. Dan amat besar kerugian sekiranya kita melupakan dan mencampakkan ibu-bapa kita sejauh-jauhnya dari hidup kita…. Iringkanlah doa buat mereka berdua.

Dimana doa dan kebajikan kita kepada mereka…?

Bulan Ramadhan ini juga menuntut kita supaya melihat, merenung sejenak dan melakukan sesuatu amal ihsan kepada mereka yang fakir miskin. Kemelaratan hidup mereka bukanlah kehendak mereka. Benar!… Allah telah menceritakan sepenuhnya golongan ini di dalam Al Quran Karim. Bantulah mereka untuk meringankan beban mereka di atas muka bumi yang sementara ini. Apalah sangat harta dan wang ringgit yang kita ada sehinggakan kita kedekut, berkira dan bersikap sombong untuk menghulur sedikit dari kekayaan yang kita ada. Malah sanggup pula dikalangan kita mencemuh dan mengherdik mereka.  Bukannya mereka berharap sangat untuk meminta. Mereka juga ada hati dan perasaan seperti kita. Ada juga perasaan malu yang mengunung tetapi apalah daya mereka kerana terpaksa menanggung beban hidup yang memeritkan. Bantulah mereka dengan seikhlas hati…

Ramadhan ini juga mengajar kita supaya lebih mengutamakan anak-anak yatim. Mereka juga inginkan perhatian sepenuhnya daripada kita. Mereka amat berharap keperihatinan kita. Kita kena bangkitkan rasa kekeluargaan dan kebersamaan kita bersama mereka. Inilah usrah atau keluarga yang besar yang perlukan perhatian kita semua. Besar pahala kita sekiranya kita dapat membantu mereka.  

Imbauan kisah Arrasul SAW semasa kecil yang telah kehilangan kedua ibu dan bapa amat menyedihkan, laluan hidup baginda adalah laluan yang sukar. Baginda  Arrasul terpaksa menumpang kasih sayang sementara kepada saudara baginda dan insan yang lain. Baginda tidak mendapat kesemua kasih sayang sepertimana kita yang telah mendapat kasih sayang secara langsung dari kedua orang tua kita.

Pecutan malam yang terakhir Ramadhan akan melabelkan kita sebagai manusia yang benar-benar bertaqwa sekiranya kita berjaya mencapai tahap atau kriteria yang dikehendakki oleh Allah. Melenyapkan segala sifat mazmumah dan menghiaskan diri kita dengan segala sifat dan sikap terpuji atau mahmudah. Kitalah yang mampu mencorakkan diri kita supaya menjadi generasi Al Quran yang unik.

Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya, dan bersih jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Ilahi yang terkandung dalam Al-Quranul Karim. (Petunjuk sepanjang jalan: Syaid Qutb)

Inilah pelengkap kepada kehidupan kita sebagai Muslim, mukmin dan muhsin sehingga kita berjaya menjadi atau tergolong di dalam golongan orang-orang yang bertaqwa atau Muttaqin.

*** Surajagat 11/9/2009