msm

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

La Ilaha IllaLlah WaLlah Akbar

Allahu Akbar Wa lillahil Hamd.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan kerana diberi peluang mengecapi nikmat Ramadhan yang baru berlalu. Kemenangan yang dicapai pada bulan Ramadhan seharusnya menjadi asas untuk mencapai kemenangan yang lebih besar pada bulan-bulan yang mendatang.

1 Syawal kita bermula untuk terjun ke medan pertarungan untuk melawan musuh-musuh kita; iaitu hawa nafsu dan Syaitan. Proses Tarbiyyah yang dijalani selama sebulan mampu melahirkan individu yang menjalani kehidupan ini semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Individu-individu inilah yang akan menjadi tonggak kepada agen pengubah di dalam Ummat kita yang sedang berada di tahap yang kritikal.

Ketika kita semua bergembira dengan pakaian baru dan juadah yang pelbagai pada pagi raya, kita sama sekali tidak boleh melupakan saudara seIslam kita yang sentiasa bergadai nyawa untuk mendapatkan sesuap nasi. Kita bukan sahaja perlu mendoakan kemenangan Umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Thailand, Mindanao, tetapi juga mesti menghulurkan bantuan material sebanyak mungkin yang termampu. Mafhum sabda Nabi SAW; “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi bagi saudaranya sebagaimana dia mengasihi diri sendiri ’’

Mari kita ingat kembali hadis nabi yang menceritakan bagaimana akan tiba masanya di mana banyaknya umat Islam seperti buih pada waktu banjir.

Ketika itu Allah mencabutkan rasa gerun terhadap kita dari hati musuh-musuh kita. Ketika itu juga Allah mencampakkan kedalam hati kite penyakit WAHAN. Apabila ditanya apakah wahan itu, Rasulullah SAW menjawab ‘Cintakan Dunia & Takutkan Mati.’ Sesungguhnya Islam tidak akan menjadi deen yang tertinggi di muka bumi apabila hati dihiasi dengan penyakit Wahan ini. Semoga Ramadhan yang lalu kita telah berjaya mencampakkan sejauhnya penyakit Wahan ini yang amat dicintai oleh Syaitan.

Ikhwah Akhawat yang dirahmati Allah,

Menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga pintu da’wah umat Islam dalam bidang masing-masing. Kecemerlangan dalam akademik adalah perkara asas yang perlu diambil berat secara teliti. Pergerakan da’wah akan dilambatkan jika umat Islam ketinggalan dalam bidang keilmuan. Adakah kita masih ingat ketika Islam menjadi world order atau Ustaziyatul ‘Alam semasa Era Abbasiyyah.

Pada ketika itu Islam dijadikan pusat rujukan sedunia dalam segenap bidang kehidupan. Pada zaman inilah terlahirnya para ilmuwan seperti Ibnu Sina , Khawarizmi, Al Farab, Albiruni, Omar Khayyan, Al Ghazali, Ibnu Rusyd dan Ibnu Nafis. Para ilmuwan ini, dengan izin Allah SWT, melahirkan karya-karya yang begitu berharga di dalam bidang masing-masing. Antara contoh yang paling besar adalah Ibnu Sina yang menjadi Bapa Kemodenan Medicine.

Beliau telah menulis Canon of Medicine yang dijadikan sumber rujukan selama 700 tahun di dalam bidang perubatan! Tidakkah kita ingin melihat umat Islam pada zaman ini yang akan melahirkan Canon of Mathematics, Canon of Geography atau Canon of History. Tidakkah kita ingin melihat Islam kembali menjadi the new world order di muka bumi ini Perkara ini semua tidak akan dicapai jika kita masih bepeluk bahu dan memenuhi masa dengan perkara-perkara yang melalaikan.

Juga tidak tercapai jika umat Islam sentiasa bercakaran dengan perkara-perkara furu’ yang tidak menguntungkan mana-mana pihak kecuali pihak musuh. Marilah kita semua bersama-sama fokus untuk membawa manusia supaya tunduk kepada Allah dan memenuhi tujuan penciptaan mereka. Perbezaan-perbezaan yang kecil mahu pun besar harus diketepikan demi menjayakan agenda ummat yang lebih utama.

Pihak-pihak musuh sudah pasti bergembira jika mereka menyedari umat Islam masih bercakaran sesama sendiri di atas perkara-perkara yang remeh.

Akhir kalam, pihak Majlis Syura Muslimun ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam tidak kira berada di mana.

Juga pihak Majlis Syura Muslimun ingin mengucapkan jutaan terima kasih & Jazakumullah khairan di atas sokongan yang telah diberikan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti da’wah selama lebih 30 tahun di bumi UK & Eire.

Pihak kami menyusun 10 jari memohon kemaafan bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini. Semoga Allah SWT memberikan keberkatan di atas usaha-usaha kita.

Salam Perjuangan,

Abdul Azim Ismail Ameer Majlis Syura Muslimun ( MSM) UK & Ireland 1 Syawal 1430H