kad%20raya

Pihak MSM Sheffield mengucapkan selamat Eid Mubarak, Minal Eidil wal Faizin…

Semoga amalan di bulan Ramadhan kita tahun ini mendapat keampunan, Maghfirah dari Allah Taala. Kita hambanya dan dialah Khaliq, Maha Pencipta. Ikhwah dan Akhawat yang dimuliakan Allah…

Bulan Syawal merupakan bulan pertama untuk menguji bekalan yang ditimba sepanjang bulan ramadhan yang telah kita perolehi darinya untuk menempuh 11 bulan yang akan datang sebelum bertemunya Ramadhan yang akan datang. Jadilah kita sebagai hamba tuhan yang paling taat melaksanakan suruhan dan tegahan. Sentiasalah menjaga, memperbaiki dan mempertingkatkan sifat terpuji, mahmudah di dalam diri dan menjauhi sifat buruk, mazmumah yang hanya sia-sia hanya mencampakkan diri sendiri ke neraka Jahanam Allah yang amat pedih. Apalah guna menjadi hamba tuhan tetapi amal perbuatan seharian tidak mengambarkan keperibadian yang di sebut oleh Allah sebagai hamba Allah, ‘Ibadur Rahman. Sifat buruk sangka semasa sendiri yang bertentangan dari ciptaan asal fitrah yang suci dan bersih kerana semata-mata menuruti hawa nafsu. Jauhi perasaan benci sesama muslim, jauhi perwatakan keras sesama mukmin dan jadikan kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa.

“Wahai orang-orang yang beriman!, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, Dia mencintai mereka dan mereka mecintainya, dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan yang tidak takut kepada claan orang yang suka mencela.. Itulah kurnia Allah yaag diberikannya kepada siapa yang dikehendaki dan Allah Maha luas, maha mengetahui.” Al-Maidah:54

Ikhwah dan Akhawat yang dikasihi Allah….

Sudah adat dan sunnah orang yang berjuang di atas kebenaran itu akan diuji dengan mehnah, cubaan, celaan dan tohmahan sesama sendiri, dikalangan bangsa dan kaum sendiri dan lebih-lebih lagi dikalangan orang-orang yang kufur kepada Allah. Tetapi bersabarlah dan teruskan usaha ke arah pembaikan (islah) dan didiklah hati dan peribadi kita dengan 10 sifat keperibadian atau mowasofat yang menjadi asas tarbiyyah tarbawiyyah kita. Insyallah, Allah sentiasa bersama dengan hambanya yang benar, ikhlas berjuang dan sabar di atas mehnah dan tribulasi yang diterima.

Pisahkan (tafarruq) diri kita dari amal-amal jahat yang sia-sia, dan prejudis sesama kita mahupun terhadap kelompok lain yang juga berjuang untuk agama Allah. Bersama-sama bekerja menegakkan kalimah Allah. Sekiranya kita ditentang dan diganggu maka bersabarlah dan bermunajahlah kepada Allah Taala supaya memberikan kita ketenangan dan petunjuk. Mohonlah supaya Allah membuka laluan dan mempermudahkan setiap urusan yang kita lakukan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.” Al-Hujuraat: 12

Daripada Muawiyah r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Jika kamu mencari keburukan orang, maka kamu telah merosakkannya.” (Riwayat Abu Daud).

Tunjukkan kepada mereka sifat dan keperibadian kita yang baik. Mereka membaling kita dengan batu-batu tetapi kita tetap melontar kepada mereka semula dengan buah-buah yang manis. (kata-kata as-Syahid Imam Hassan Al Banna). Sekali lagi, itulah siasah dan adat serta sunnah hamba Allah yang berjuang.

Ikhwah dan Akhawat yang dicintai Allah…

Rapatkan tautan ukhuwwah sesama kita, bina hubungan usrah yang terbaik dan sebaik mungkin sesama ahli, dengan memahami harapan dan tuntutan ta’aruf, takaful dan tafahum. Hidupkan diri kita di dalam suasana beramal jama’ie kerana di sana banyak nikmat dan rahmah dari Allah Taala.

Selalulah muhasabah dan mutabaah diri, dengan Solat fardhu, Amalan dan Solat sunat muakkadah, Dhuha, Witr, Tahajjud, zikir dan istighfar kepada Allah, Tadarus Quran 1 Juzuk sehari, Membuat kebajikan dan berbaik dengan ibu-bapa dan jiran tetangga, menjauhkan sama sekali perkara yang haram atau syubahat dan sentiasa infaq diri dan harta kepada Allah Taala.

Akhir kalam, sambutlah Syawal dengan penuh rasa sifat kehambaan kepada tuhan supaya kita digelar sebagai hamba tuhan atau ‘Ibadur Rahman yang penuh dengan ciri-ciri ketakwaan.

Taqabballahu minna waminkum… taqabbal ya kareem

** Biro Tarbiyyah, MSMSheffield 1430H, 2009