Assalamualaikum wbt

Segala puji yang selayaknya bagi Allah s.w.t. di atas segala nikmat dan rahmat-Nya. Selawat serta Salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Segala penat lelah dan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dilakukan akhirnya terbayar dengan kejayaan saudara dan saudari ke United Kingdom dan Ireland untuk meneruskan pelajaran dalam bidang pilihan masing-masing. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua.

Sudah tentu, suasana dan keadaan Malaysia amat berbeza dengan di UK dan Ireland dari segi cara hidup, budaya, bahasa, cuaca dan pelbagai lagi. Saya yakin saudara dan saudari akan menempuh pelbagai cabaran dan pengalaman baru apabila sampai di sini nanti. Lihatlah perkara tersebut sebagai peluang yang perlu direbut untuk menjadikan diri kita lebih baik daripada yang sebelumnya.

21022009024

Memupuk semangat taaruf, takaful dan tafahum

Kita sebagai muslim meyakini segalanya terjadi dengan kehendak-Nya. Maka, hargai dan syukurilah segala kurniaan-Nya dengan sebaik mungkin. Misi kehidupan kita sebagai Hamba-Nya adalah merupakan hakikat kejadian kita diciptakan. Jadikanlah cara hidup Islam sebagai cara hidup kita dan serlahkanlah kemuliaan Islam di atas segala cara hidup yang lain.

Majlis Syura Muslimun (MSM) UK dan Eire adalah organisasi Islam yang aktif bergerak menjalankan pelbagai program dan aktiviti islamik sepanjang tahun yang membina potensi diri dari pelbagai aspek. Antara program dan aktiviti yang dijalankan adalah usrah, perkhemahan, kursus, ceramah, aktiviti lasak dan pelbagai lagi selaras dengan slogan motto MSM iaitu “Membina Syakhsiah Muslim”. MSM berusaha mendidik masyarakat Malaysia di UK dan Ireland terutamanya golongan pelajar tentang ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Qur’an dan as-Sunnah.

Saya mewakili ahli-ahli MSM mengalu-alukan kedatangan saudari dan saudari ke UK & Eire dan menjemput anda semua untuk menyertai program-program dan aktiviti-aktiviti yang kami anjurkan.

Sekian, terima kasih.

Abdul Azim Ismail, Ameer Majlis Syura Muslimun (MSM) UK & Eire