Warna-Warni Muslimah 2009 (WWM’09) telah berlangsung pada 1 November 2009 bertempat di Norfolk Heritage Park selama lebih kurang 4 jam. Objektif program ini adalah untuk merapatkan ukhuwah sesama kaum wanita di Sheffield, disamping melancarkan kempen memboikot barangan Amerika dan Israel yang menyokong peperangan di Palestin. Sebuah tabung kutipan derma untuk rakyat Palestin juga telah disediakan dimana jumlah kutipan ialah GBP 24.18. Tetamu dan peserta persembahan pada hari tersebut adalah terdiri dari kaum wanita Sheffield bersama anak-anak masing-masing.

Antara aktiviti-aktiviti menarik sepanjang program WWM’09 ialah tayangan video dan bacaan sajak berkisarkan keadaan di Palestin, persembahan nasyid duet dan juga dari kumpulan Ummahatusheffielly, persembahan aulad dan musical choral speaking yang rata-ratanya memperjuangkan hak Palestin dan mengajak kepada perdamaian dan kasih sayang sesama umat manusia. Persembahan terbaik dimenangi oleh Qariah Tinsley yang membuat persembahan gabungan tradisional dan moden bertajuk ‘Love from Within’ dan membawa pulang hadiah berupa hamper.

Program diselang-selikan dengan cabutan bertuah dan terdapat juga permintaan lagu dari para suami yang disampaikan semasa rehat makan tengahari. Pemilihan tokoh berdasarkan personaliti dan komitmen sepanjang program telah dilakukan dimana Puan Roziani Bt Ali telah terpilih sebagai Ratu Muslimah dan Puteri Muslimah dimenangi oleh adik Maisarah Bt. Mahadir manakala Putera Muslim pula ialah adik Adam Haikal B. Ahmad Syahrin. Marhaban untuk 4 bayi bertuah Sheffield menjadi acara terakhir program WWM’09 yang telah dirasmikan oleh wakil HELWA, Puan Roziani Bt Ali.