Program Shahadatul Haq telah dilangsungkan secara kecil kecilan pada 12 dan 13 Februari 2010 di Salsabila, 14 Havelock yang lalu. Pengisian ini dihadiri oleh seramai 13 orang akhawat. Pengisian ini telah diberi nafas baru Shahadatul Haq- Sebuah Persaksian Cinta. Konsep persaksian cinta digunakan untuk memudahkan pendengar untuk mengaitkan perjanjian cinta kita dengan Allah iaitu kalimah shahadah tidak akan terlaksana selagi tanggungjawab ditunaikan. Sama seperti konsep perkahwinan dalam islam, lafaz nikah itu hanyalah akan menjadi lafaz di bibir dan di atas sijil nikah sahaja jika tanggungjawab tidak dilaksanakan.

Antara isi lain yang diketengahkan adalah penghayatan terhadap pengorbanan pejuang shahadah yang agung iaitu Rasullulah SAW dan para sahabat. Ketika ini, suasana bertukar menjadi pilu tatkala para pendengar begitu khusyuk mengenang kembali siri pengorbanan pejuang shahadah yang sanggup mengorbankan nyawa untuk umat baginda yang tercinta. Selain itu, intipati ayat suci Al baqarah ayat 143 turut diperbincangkan dan diperhalusi dan menyedarkan betapa pentingnya tanggugjawab kita sebagai SAKSI kepada umat manusia.

Program berlangsung dengan lancar dan diteruskan dengan kerjasama sesama akhawat menguruskan booth Misi Kasih Palestin di Malaysian Bazaar pada keesokan harinya. Program pada kali ini dianjurkan secara kecil-kecilan memandangkan limitasi tempat dan kemudahan. Insyaallah pada masa akan datang, kami akan mengusahakan program yang lebih besar dan terbuka untuk orang ramai.

Diharapkan semangat dan kefahaman yang diperolehi semasa pengisian akan terus mekar dan subur serta mampu mengubah paradigma tentang kewajipan menunaikan tanggungjawab menyebarkan kalimah shahadah. Moga kita semua istiqamah insyaallah.

Laporan disediakan oleh,
Akhawat MSM Sheffield.