Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, majlis Makan Malam Amal Misi Kasih Palestin (MKP) 2010 anjuran Majlis Syura Muslimun (MSM) telah berjalan dengan jayanya pada 24 April lalu di Birmingham. Majlis ini telah dihadiri oleh kira-kira 180 tetamu dari seluruh United Kingdom dan Ireland. Majlis bermula pada jam 7.45pm dan tamat pada pukul 10.30pm. Sajian yang dihidangkan pada malam tersebut bertemakan makanan Arab. Tetamu juga diberikan ole-ole tamar dan kekacang yang di bawa terus dari Madinah.

Meja Urusetia Charity Dinner MKP

Tiga penceramah telah menyampaikan perkongsian penuh makna iaitu Bro. Abdul Hamid Faruki (Viva Palestina), Mr. Shahool Hameed (Palestine Centre of Excellence, PACE) dan Ustaz Mazlee Malik (Durham University). Selain itu, Mr. Amjad Hamza daripada Human Appeal International (HAI) juga telah berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan kepada MSM atas sumbangan derma dan sokongan MSM ke atas Palestin yang berjumlah lebih daripada £7000 terhadap projek endoscopy di Gaza sebelum ini. Para tetamu juga telah dihiburkan dengan persembahan nashid daripada kumpulan Munawwar dan deklamasi sajak daripada saudara Naufal Jailani.

Seperti yang sedia maklum, antara objektif utama Majlis Makan Malam Amal MKP ialah untuk menjana derma untuk rakyat Palestin yang tertindas. Saya ingin mengambil peluang ini untuk memaklumkan kepada umum jumlah derma yang berjaya dijana pada malam tersebut. Jumlah derma yang berjaya diperoleh melalui jualan tiket adalah sebanyak £1626.36 manakala sponsor/derma sebanyak £596.25. Ini menjadikan jumlah keseluruhan derma yang berjaya dijana daripada Majlis Makan Malam MKP adalah sebanyak £2222.61. Alhamdulillah, Allahuakbar. Jumlah ini adalah jauh melebihi jangkaan pihak kami.

Barisan AJK Brothers Charity Dinner MKP

Ini menjadikan jumlah kutipan terkini derma MKP ialah sebanyak:
GBP 8868.08
EUR 219.92
MYR 67.17
CZECH 1000.00

Saya bagi pihak MKP ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para penderma budiman dan pembeli tiket yang hadir mahupun tidak hadir. Juga kepada AJK, penceramah, penaja, penyajak, kumpulan nasyid, sukarelawan dan semua yang membantu secara langsung dan tidak langsung. Semoga sumbangan dan usaha kerdil kita ini diterima oleh Allah dan menjadi pemberat amalan kita di akhirat kelak.

Barisan AJK Sisters Charity Dinner MKP

Ingatlah janji Allah dalam surah Al-Zalzalah ayat 7,

“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya” (99:7)

Saya akhiri tulisan ini dengan petikan ucapan En. Shahool Hameed daripada PACE:

Sekiranya rakyat Palestin bersedia menjadi saff di hadapan untuk mempertahankan tanah suci Islam, siapakah yang akan menjadi saff dibelakang jika tidak diri kita. Adakah kita masih boleh bergelak ketawa dan masih tidak peduli jika sekarang pihak musuh sedang cuba merobohkan Al Aqsa dan menggantikannya dengan kuil-kuil mereka. Apa yang akan kita jawab dihadapan Allah kelak?
Adakah hanya dengan malam ini sahaja sumbangan yang kita berikan untuk Palestin? Berilah bantuan berterusan dengan rezeki gaji yang diperolehi untuk peruntukan menyara dan mengambil anak angkat Palestin yang suatu hari nanti akan menjadi mujahid. Sekiranya kita tidak mampu berjihad insyaAllah saham anak-anak mujahid ini akan kita perolehi di akhirat kelak.

Disediakan oleh,

Abdul Rahman Mohmad
Misi Kasih Palestin 2010