Alhamdulillah, dengan rasa rendah diri dan syukur kepada Allah Taala di atas kebesaran dan kasih sayangnya, program Riadah Jama’ie Ikhwah dan Akhawat MSM Sheffield telah berjaya diadakan di Clumber Park, Worksop Nottinghamshire pada 1 May 2010 Sabtu. Program ini bermula pada pukul 10.00 pagi dan semua peserta mula berkumpul di hadapan Kedai Sewa Basikal dan melakukan senaman ringan di kawasan parking yang berdekatan.

  

Kehadiran seramai 17 orang ikhwah dan 15 orang akhawat telah memecah kesunyian Clumber Park diawal pagi di mana sang suria masih malu-malu untuk “menjelmakan’ diri. Kehadiran ikhwah dan akhawat telah disambut riang oleh kicauan unggas-unggas alam yang tidak pernah merungut sama sekali kepada yang maha pencipta untuk keluar mencari sesuap rezeki. Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakhbar, semuga sang unggas dan tumbuh-tumbahan ini mendoakan kesejahteraan untuk kami semua supaya menjadi hamba Allah yang bersyukur ke atas nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah sebagai Rabb yang telah memberikan rezeki dan nikmat yang amat besar.

Perjalanan berbasikal dengan melalui route 3 sejauh 8 miles amatlah mencabar stamina masing-masing yang selama ini hanya ‘disimpan’ dik kerana musim dingin yang panjang. Maha suci Allah,namun, kudrat empat kerat yang selama ini ‘dijaga’ dengan baik telah digunakan untuk menikmati keagungan ciptaan Allah yang paling berkuasa di atas penciptaan alam semesta ini.

Maha suci Allah, pemandangan yang cukup menarik sepanjang laluan berbasikal seperti pemandangan tasik, hutan dara, hutan Pine, belukar kecil, bukit dan cerun-cerun, ladang kentang, ladang kuda dan kambing, sungai dan kawasan balak dan lain-lain telah menenangkan hati dan fikiran peserta semua kerana mereka ‘menyapa’ ketibaan kami. Ahlan wasahlan, marhaban bikum….

Membakar BBQ (ayam, sosej, daging kambing, daging lembu dan burger), nasi goreng, kari ayam dan nasi putih  merupakan aktiviti senaman perut yang pastinya tidak dapat dielakkan oleh semua peserta. Ayuh!, semua dikehendaki terlibat dan mengambil ‘peranan’ dan ‘tanggungjawab’ masing-masing. Perut mesti ‘berstamina’ dan bergaya… Mesti habiskan ya… Sedap sehingga menjilat jari… recover!, recover!… Allahu akhbar!, siapa sangka, ‘menangis’ makanan ini dan bersyukur mereka kepada Allah Taala kerana dapat berkhidmat kepada hamba Allah ini, Alhamdulillah….

Semua peserta melaksanakan solat jamak di atas padang dan terasa bahawa ubudiyyah ini memang layak disembahkan kepada Allah sebagai pengatur alam dan pencipta makhluk yang bergelar insan.

Akhirnya, pengisian tazkeerah… Yang pertama, tentang perlunya diperbetulkan niat tentang kehadiran kita semua ke sini, keduanya tentang nilaian ukhuwwah sesama kita untuk melahirkan mahabbah dan rahmah dan ketiga tentang perlunya banyak beristigfar kepada Allah yang maha Esa sebagai neraca hidup kita di atas muka bumi ini. Semuga bermanafaat untuk muhasabah diri.

Program ini berakhir pada jam 4 petang dan bersurai…

Insyaallah ketemu di program riadah yang akan datang… semoga Allah memberkati kita semua…

Subhanallah, Alhamdulillah wallahu Akhbar.

Sekian.