Sila klik untuk dimuat-turun Nur Ramadan Issue 3[1] 
 Bulan Ramadhan kini bersama-sama dengan kita sekali lagi. Bagi yang sudah punyai anak-anak berumur 7 tahun ke atas, sudah pastinya akan cuba melatih anak-anak untuk berpuasa, jika tidak penuh pun, paling tidak selama mana yg mereka termampu. Sememangnya berpuasa buat anak-anak Melayu di bumi UK ini adalah suatu usaha yang sangat mencabar. Ini adalah sangat berbeza berbanding dengan diri ini sewaktu kecil-kecil dulu di Malaysia, di mana semua orang yang beragama Islam, daripada yang dewasa hinggalah si kecil akan berpuasa. Suasana yang boleh dikatakan sangat kondusif untuk diri ini berpuasa semasa kecil. 
Tetapi, di bumi UK ini, persekitaran sangat tidak membantu. Pertamanya adalah kawan-kawan anak-anak di sekolah, yang ‘mat saleh’ mahupun yg Muslim Pakistani dan Bangladeshi pun rata-rata tidak berpuasa sama, menyebabkan anak-anak kita tergugat dalam usaha untuk berpuasa. Keduanya, untuk berpuasa di musim panas sebegini dimana harinya sangat panjang juga membuatkan anak-anak kita resah dan gelisah dalam menahan diri daripada lapar dan dahaga. Ini sudah tentu sangat menguji kesabaran mereka untuk terus berpuasa sehingga ke matahari terbenam.  
 Sememangnya untuk mendidik anak-anak memerlukan gandingan usaha kedua-dua ibu dan ayah. Alhamdulillah daripada pengalaman kami mendidik anak-anak untuk berpuasa di bumi UK ni, kami pastikan anak-anak bangun bersahur setiap hari bersama-sama dengan kami. Pada waktu bersahur itu juga kami mengingatkan mereka untuk memasang niat puasa pada hari tersebut. Dengan ini, sedikit sebanyak dapat memberi mereka kekuatan serta mind-set bahawa mereka akan berpuasa pada hari tersebut.
Pada bulan Ramadhan yang lepas, alhamdulillah anak sulung kami yang berusia 9 tahun buat pertama kalinya telah Berjaya puasa penuh, sementara anak kedua kami yang berusia 8 tahun masa itu telah tidak dapat puasa penuh disebabkan oleh cikgunya yang menyuruhnya makan tengahari, apabila beliau mendapat tahu anak kami itu berpuasa.
Cikgu ‘mat saleh’ nya memberitahu anak kami yang tidak dapat puasa penuh itu, bahawa dia belum perlu berpuasa sehinggalah umurnya mencapai 14 thn. Memanglah ada benarnya, iaitu anak-anak tidak wajib berpuasa sehinggalah mereka mencapai umur aqal baligh tetapi adat kebanyakan orang Melayu ini adalah untuk biasakan anak-anak kita sejak awal-awal lagi. Ini adalah supaya apabila ‘tiba’nya umur aqil baligh, mereka sudah bersedia sepenuhnya. Kami pula tidak mahu ‘membantah’ sebab nanti mereka akan fikir kami ‘mendera’ anak-anak pula. Ini sudah tentunya boleh memberi imej yang buruk pada Muslim.
 Kami juga memberi galakan berpuasa dengan menawarkan wang saguhati sekiranya mereka berusaha untuk berpuasa. Siapa yang dapat puasa penuh sudah tentunya akan dapat duit lebih. Selain daripada itu kami juga cuba untuk berbuka puasa di masjid, selain daripada kebiasaanya di rumah. Ini adalah supaya mereka dapat merasakan bahawa ramai lagi orang Muslim di luar sana yang berpuasa seperti mereka, serta juga supaya mereka merasakan ukhuwwah Islamiyyah dikalangan Muslim yang pelbagai bangsa, rupa dan warna.
Di dalam bulan Ramadhan juga, anak-anak kami diperingatkan akan kehebatan bulan Ramadhan ini serta mengajak mereka membaca al-Quran dan solat tarawikh, paling tidak dua rakaat supaya mereka dibiasa-biasakan daripada kecil. Kami juga memberi hadiah hari raya untuk setiap anak-anak supaya mereka tidak akan merasakan bahawa perayaan hari Natal adalah lebih menyoronokkan kerana kawwan-kawan ‘mat saleh’ mereka mendapat banyak hadiah pada hari tersebut. Suasana di sini sudah tentunya berbeza dengan di Malaysia dimana setiap anak-anak bergembira di hari raya kerana mendapat duit ‘ampau’ yang banyak daripada saudara mara dan kawan mak dan ayah.
Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Allah swt yang telah membantu kami dalam mendidik anak-anak kami untuk berpuasa di bumi UK ini dan atas kurniaan Ilahi akan anak-anak yang mahu mencuba dan berusaha untuk berpuasa. Semoga kami dan anak-anak kami akan tetap thabat dalam melaksanakan titah perintah Allah swt sehingga ke akhir hayat.
 
Eleena Masnee Abdul Samad 

Untuk artikel selanjutnya sila klik Nur Ramadan Issue 3[1]