Sila klik untuk pengisian seterusnya nur ramadan issue 4

Sebagaimana kita gembira untuk menyambut ketibaan Ramadhan, begitu juga ketika saat-saat akhir Ramadhan akan berakhir. Inilah masanya untuk kita terus memecut dalam menjalankan amal ibadah terutamanya dalam 10 malam yang akhir demi mengejar malam Lailatul Qadr. Saat ini, Rasulullah SAW meninggalkan keenakan tidur dan baginda berusaha melakukan ibadah yang terbaik seperti Iktikaf.

Baginda juga beribadat dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh, meninggalkan isteri-isteri baginda serta memperbanyakkan doa. Inilah kenikmatan 10 malam berbanding 365 malam yang lain. Sebagaimana dinyatakan dalam surah Ali-Imran, ayat 133: “Dan bersegeralah (berlumbalah) kamu dalam mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa (Muttaqoon)”.

Antara sebab-sebab utama kemuliaan Bulan ramadhan ialah kerana keberkatan malam Lailatul qadr (LQ).Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang bangun (untuk beribadah) pada malam LQ kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. Oleh kerana itu, LQ disifatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan kerana ia adalah peluang keemasan untuk seseorang hamba mendapat keampunan dari Allah Taala.

Bilakah malam LQ? Menurut pendapat ulama yang popular, LQ jatuh pada malam yang ke 27. Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Zirr bin Hubays bahawa beliau telah berkata: “Saya telah mendengar Ubay bin Ka’ab berkata ketika disampaikan kepadanya kata-kata Abdullah bin Mas’ud RA: Barangsiapa yang mengerjaan solat malam selama setahun penuh maka ia pasti mendapatkan malam laylatulqadr”. Ubay berkata: “Semoga Allah merahmati beliau , maksud beliau berkata begitu ialah supaya orang tidak meneka-neka bilakah datangnya LQ. Demi Allah yang tiada ilah yang berhak disembah dengan benar selain Dia,LQ itu jatuh pada bulan ramadan. Demi Allah saya mengetahui malam keberapa Lq itu!Iaitu malam ketika Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk mengerjakan solat pada saat itu, tepatnya pada sepenggal akhir malam ke 27. Tanda-tandanya ialah pada pagi harinya matahari terbit dengan memancarkan cahaya putih tidak menyilaukan.” Hadis riwayat Muslim.

Yakinlah Allah turut menganugerahkan satu malam yang penuh keistimewaan, kebaikan serta penuh barakah yang lebih baik dari seribu malam. Al-Quran turut diturunkan sekaligus ke langit dunia pada malam ini. Qadar pada tahun hadapan juga akan ditentukan oleh Allah SWT untuk hamba-hambaNya. Inilah masanya untuk kita memperlihatkan kepada Allah keadaan diri kita sebaik-baiknya. Malaikat Jibrail serta malaikatmalaikat lain akan turun ke langit dunia untuk memerhatikan kita. Sesiapa yang menemui malam itu pasti akan diberi segala kebaikan, diterima taubatnya dan dimakbulkan segala doa. Itulah malam Lailatul Qadr. Inilah masanya untuk kita memohon dari Allah agar membebaskan diri kita dari api neraka, menerima puasa, qiyam, zikir serta segala amalan kita. Inilah juga masa untuk kita memperbanyakkan pujian untuk Allah SWT kerana memberikan kita taufik untuk berpuasa, bersolat, qiyam, bersedekah, nikmat Lailatul Qadr, keimanan, keislaman dan lain-lain yang tidak terhitung oleh kita.

Kesimpulannya, seseorang muslim seharusnya menjadikan LQ sebagai satu buruan kerana malam tersebut amat istimewa kerana ganjaran pahala dan peluang keampunan yang dijanjikan oleh Allah hanya datang setahun sekali. Apa yang penting , sewajarnya seseorang muslim membuat perancangan yang kemas untuk menyambut Ramadan supaya keistimewaan Ramadan dapat dihayati sepenuhnya, bukan hanya sekadar menghadapinya sebagai rutin tahunan semata-mata.

Sila klik untuk pengisian seterusnya nur ramadan issue 4